RMS Lancar MyARX Perkukuh Transformasi Digital Ar-Rahnu X’Change
GEORGE TOWN, 12 Sept (Bernama) — Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS), subsidiari milik penuh Bank Rakyat, melancarkan aplikasi mudah alih MyARX sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh transformasi digital perkhidmatan Ar-Rahnu X’Change.
Pengerusi RMS Mohd Jafri Kudus berkata MyARX menawarkan pelbagai kemudahan kepada pelanggan termasuk semakan maklumat akaun gadaian dan sejarah transaksi, penerimaan notifikasi, pembayaran serta maklumat berkaitan lelongan.
“Ia turut dilengkapi kalkulator Ar-Rahnu, kemudahan mencari rangkaian cawangan terdekat serta pengurusan profil pengguna bagi membolehkan pelanggan mengakses perkhidmatan Ar-Rahnu dengan lebih pantas, mudah dan selamat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2025 di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Mohd Jafri berkata pelancaran MyARX merupakan antara inisiatif strategik yang dirangka bagi melengkapkan ekosistem pendigitalan operasi Ar-Rahnu X’Change, sekali gus memastikan jenama itu terus berdaya saing dan kekal relevan pada masa depan.
Katanya sebelum ini, Ar-Rahnu X’Change telah memperkenalkan sistem pembayaran dalam talian menerusi e-bayar, selain menjadi operator Ar-Rahnu pertama di Malaysia yang melaksanakan transaksi tanpa kertas menerusi inisiatif e-paper sejak Mac tahun lepas dengan kadar penerimaan pelanggan terhadap penggunaan e-paper kini mencapai 97 peratus.
Mohd Jafri berkata Ar-Rahnu X’Change mencatatkan prestasi positif dengan jumlah pengeluaran pembiayaan terkumpul sebanyak RM2.66 bilion sehingga Ogos 2026.
Beliau berkata jumlah baki pembiayaan pula mencecah RM2.17 bilion dalam tempoh sama, dengan beberapa francaisi menunjukkan peningkatan positif meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu modal pusingan dan turun naik harga emas.
Mohd Jafri berkata berdasarkan perkembangan semasa, lima lagi rangkaian Ar-Rahnu X’Change baharu dijangka beroperasi di Bandar Country Homes, Selangor; Tawau dan Semporna, Sabah; Bukit Baru, Melaka dan Gua Musang, Kelantan.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata model perniagaan francais Ar-Rahnu X’Change merupakan antara program Bank Rakyat yang berjaya melaksanakan mandatnya dalam pembangunan perniagaan koperasi menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam operasi perniagaan Ar-Rahnu sejak 1993.
“Prestasi sepanjang 2025 yang mencatatkan pengeluaran pembiayaan berjumlah RM5.1 bilion menggambarkan konsistensi permintaan terhadap produk pajak gadai Islam.
“Justeru, ia merupakan satu peluang perniagaan yang perlu dipertimbangkan oleh koperasi untuk diceburi,” katanya.
Mohd Irwan berkata Bank Rakyat akan terus memainkan peranan dalam menyokong Ar-Rahnu X’Change, terutama dari aspek pembangunan perniagaan termasuk menambah baik model perniagaan dan sokongan fasiliti bagi memenuhi keperluan koperasi.
– BERNAMA



