Lebih 90 peratus MyKiosk di NS sudah diisi
SEREMBAN – Lebih 90 peratus kios MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Negeri Sembilan telah diisi dengan peniaga.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, bagaimanapun terdapat beberapa daerah yang menghadapi masalah dalam menempatkan peniaga.
“Kalau kita lihat di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT), peratusan kios yang belum diisi atau belum beroperasi adalah rendah. Namun, ada beberapa PBT yang mencatatkan kadar tidak beroperasi yang tinggi.
“Salah satu sebabnya ialah jumlah MyKiosk yang mereka terima adalah tinggi berbanding PBT lain. Saya dimaklumkan bahawa pada bulan Mac lalu, kadar pengisian hanya sekitar 50 hingga 60 peratus, tetapi kini sudah melepasi 90 peratus,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas daripada peniaga serta semasa lawatan, terdapat banyak kios yang belum beroperasi walaupun telah diisi.
Tambahnya, antara faktor lain yang menyebabkan kemudahan itu belum dapat beroperasi ialah persaingan sesama peniaga di lokasi yang sama.
“Kalau kita lihat hari ini, beberapa tempat yang tidak mendapat sambutan adalah lokasi yang menempatkan banyak kios serentak – ada yang enam, lapan dan sehingga 10 unit.
“Apabila dikumpulkan di satu kawasan, mereka perlu bersaing antara satu sama lain. Bagi saya, ini adalah aspek yang perlu diberi perhatian,” katanya.



