Barang sama harga tapi kuantiti semakin berkurang

MELAKA -Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengesan segelintir peruncit atau pasar raya menggunakan taktik mengurangkan kuantiti pembungkusan sesuatu produk namun tetap menjualnya pada harga yang sama.

Pengarahnya, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa menerusi Op Kesan 4.0, terdapat pihak yang mengambil tindakan sedemikian.

“Ada juga barangan yang tidak mengalami kenaikan harga, namun pembungkusannya telah dikecilkan atau kuantiti berat dikurangkan. Contohnya, sebelum ini barangan tersebut seberat satu kilogram (kg) kini dikurangkan kepada 900 gram (g).

“Ini yang pengguna perlu cakna, barang memang tidak naik harga, tetapi pengguna membelinya dengan harga yang sama walaupun kuantitinya kurang sedikit berbanding sebelum ini.

“Dalam operasi itu, kita menemui barangan 500g yang telah dikurangkan kepada 400g. Jadi, sekiranya pengguna tidak berpuas hati, buat aduan supaya kita boleh bertindak. Jika harga berubah, kita akan siasat faktor yang menyebabkan perubahan tersebut, termasuk kemungkinan melibatkan kos pengangkutan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Terdahulu, pihaknya melakukan pemantauan menerusi Op Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di Angkasa Nuri, Durian Tunggal pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Hazimin berkata, usaha ini penting bagi memastikan pengguna mendapat keadilan terhadap harga yang ditawarkan sama ada oleh pihak pemborong, peruncit mahupun pasar raya.

Jelasnya, dalam operasi tersebut, lima barangan harian seperti susu pekat, minuman malt coklat, tepung gandum, sardin dan roti putih telah diambil untuk tujuan siasatan.

“Ini merupakan sebahagian daripada langkah pemantauan berikutan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai lalu.

“Bermula 1 Julai hingga 18 Julai 2025, sebanyak 35 premis melibatkan 63 unit simpanan stok telah diperiksa dan satu notis bertulis dikeluarkan membabitkan tiga unit simpanan stok,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM299,500 jumlah denda direkodkan atas pelbagai kesalahan membabitkan 234 kes bagi tempoh awal Januari hingga 17 Julai lalu.