PRN Melaka: Calon Dinasihatkan Hormat Keberadaan Petugas Media – Fahmi
MELAKA, 1 Nov (Bernama) — Calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 ini dinasihatkan supaya sentiasa menghormati serta menghargai keberadaan pengamal media sepanjang tempoh berkempen, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pengamal media diseru supaya melaporkan dengan segera kepada polis jika berdepan dengan keadaan tidak selesa ketika melaksanakan tugas di lapangan.
Fahmi berkata pengamal media juga disarankan membuat laporan kepada Majlis Media Malaysia jika kandungan mereka telah diciplak atau diambil tanpa kebenaran.
“Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang mencuri maklumat, mencuri kandungan daripada sesuatu media tanpa memberikan kredit ataupun menamakan sumber.
“Sekiranya ada aspek-aspek seperti itu, saya harap rakan-rakan media akan melaporkan kepada pihak Majlis Media Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Media Kementerian Komunikasi di Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Erwin Khairul Ahmad.
Tirai PRN Melaka ke-16 dibuka secara rasmi bermula semalam dengan penamaan calon, manakala undi awal ditetapkan pada 10 Nov dan hari mengundi pada 14 Nov, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan berkuat kuasa pada 23 Sept lepas.
Dalam pada itu, Fahmi berkata selain pusat media utama di Ayer Keroh, sebanyak 39 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Melaka turut dijadikan sebagai pusat media bagi kemudahan pengamal media melaksanakan tugasan mereka.
Beliau berkata selain melaksanakan tugasan, pusat media tersebut boleh dijadikan tempat berehat pengamal media sebelum kembali menyambung tugasan di lokasi seterusnya.
“Kita juga menyediakan kaunter aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya rakan-rakan media berdepan dengan apa-apa masalah Internet sepanjang bertugas dan saya juga menggalakkan rakan-rakan media untuk muat turun aplikasi MCMC Nexus.
“Kalau ada mana-mana tempat yang merupakan titik buta di negeri Melaka ini, kita harap rakan-rakan media juga dapat bantu untuk sampaikan (menerusi penggunaan aplikasi MCMC Nexus),” katanya.
— BERNAMA



