DOF Labuh 252 Tukun Tiruan Di Perairan Selangor
KUALA SELANGOR, 23 Sept (Bernama) — Jabatan Perikanan (DOF) telah melabuhkan sebanyak 252 tukun tiruan di perairan Selangor sejak 2006 bagi pemuliharaan sumber perikanan dan ekosistem marin negeri itu.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata tukun yang digunakan terdiri daripada jenis dasar lembut, tukun dasar lembut penghalang pukat tunda dan unjam hibrid, yang dilabuhkan di perairan sekitar Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“DOF sebelum ini melabuhkan 234 unit tukun di Selangor, iaitu 109 di Kuala Langat dan Sepang, manakala 97 lagi di Kuala Selangor dan 46 di Sabak Bernam.
“Jumlah itu kini meningkat dengan tambahan 18 lagi tukun dasar lembut penghalang pukat tunda di perairan Gulang-Gulang, Kuala Selangor,” katanya selepas merasmikan program melabuhkan tukun baharu itu di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perikanan negeri Noraisyah Abu Bakar, Pengarah Bomba negeri Datuk Wan Md Razali Wan Ismail dan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.
Adnan berkata pembangunan tukun tiruan adalah antara usaha berterusan kerajaan dalam memulihara sumber perikanan negara dan menyokong kelangsungan mata pencarian komuniti nelayan.
“Selain dapat menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan marin, langkah ini membantu melindungi kawasan perairan daripada aktiviti pukat tunda yang tidak dibenarkan.
“Usaha pemuliharaan secara berterusan penting bagi memastikan produktiviti perikanan dan sumber pendapatan komuniti nelayan terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program melabuhkan 18 tukun melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan berkenaan bakal memberikan manfaat kepada 1,111 nelayan berdaftar di Kuala Selangor termasuk 332 nelayan Zon A.
“Kuala Selangor merekodkan 20,394.06 tan metrik pendaratan ikan pada tahun lepas, manakala tempoh Januari hingga Julai lepas telah mencapai 12,141.83 tan metrik.
“Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti perikanan tangkapan terus menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi komuniti nelayan daerah itu,” katanya.
Adnan berkata jumlah pendaratan perikanan di Selangor mencatat tangkapan sebanyak 150,253.51 tan metrik pada tahun lepas, manakala 64,245.39 tan metrik bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.
“DOF akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan dan komuniti nelayan bagi memastikan tukun tiruan berfungsi secara optimum,” katanya.
— BERNAMA



