Projek Naik Taraf Konsulat Jeneral Malaysia Di Medan Bernilai RM2 Juta Siap
JAKARTA, 13 Sept (Bernama) — Kerja-kerja pembangunan dan naik taraf bernilai kira-kira RM2 juta di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah siap sepenuhnya.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kesemua kerja berkenaan, yang dilaksanakan antara 2023 hingga 2025 merangkumi beberapa kemudahan utama, disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
“Kerja-kerja berkenaan merangkumi pembinaan Dewan Konsulat Jeneral Malaysia, penaiktarafan bumbung, dinding dan pagar kompleks, tangga utama serta sistem pemadaman kebakaran, selain menambah baik ruang menyambut tetamu, bilik jamuan orang kenamaan dan ruang sedia ada,” katanya kepada Bernama.
Akmal Nasrullah, yang mengadakan lawatan ke konsulat berkenaan sempena Mesyuarat Peringkat Menteri Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) pada 10 Sept, berharap kemudahan yang ditambah baik itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong operasi konsulat.
Beliau berkata penambahbaikan itu juga dapat meningkatkan keselesaan bagi urusan rasmi serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Malaysia di Medan.
“Penambahbaikan ini juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kemudahan perwakilan Malaysia di luar negara kekal berfungsi dengan baik dan mampu menyokong peranan diplomatik serta kepentingan negara,” katanya.
— BERNAMA



