Datuk Wira Mas Ermieyati Tegur MOTAC dan Tourism Malaysia: “Mana Sensitiviti Menteri?”

MASJID TANAH, 4 Oktober – Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, melahirkan rasa kesal terhadap dua isu melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensinya, Tourism Malaysia, yang menurutnya mencerminkan kurangnya kepekaan terhadap sensitiviti umat Islam.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mempersoalkan tindakan penganjur menghidangkan arak secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan, iaitu sempena pelancaran Kalendar Acara 2026 Tourism Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

“Secara prinsip dan amalan rasmi kerajaan, arak tidak boleh dihidangkan secara terbuka dalam majlis rasmi. Ia bercanggah dengan sensitiviti umat Islam dan bertentangan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” tegasnya.

Menurut Mas Ermieyati, beberapa tetamu Islam yang hadir pada majlis itu berasa tidak selesa dan sebahagiannya meninggalkan majlis lebih awal. Beliau turut menegaskan bahawa protokol rasmi kerajaan perlu sentiasa dihormati, apatah lagi apabila majlis berkenaan turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah.

Dalam satu video berasingan, Mas Ermieyati turut mengkritik kerjasama strategik Tourism Malaysia dengan syarikat minuman antarabangsa Starbucks bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang disifatkan tidak peka terhadap isu semasa.

“Belum selesai isu hidangan arak, muncul pula kerjasama dengan Starbucks. Bukankah ini menunjukkan kerajaan tidak sensitif? Ketika rakyat marah dengan penahanan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla ke Gaza, MOTAC pula umum kerjasama dengan pihak yang kontroversi,” katanya.

Beliau juga mengecam kenyataan Menteri Tiong King Sing yang menyatakan bahawa “tetamu bebas untuk minum atau tidak” sebagai tidak bertanggungjawab.
“Mana hilangnya sensitiviti seorang menteri? Sikap hormat langsung tiada dalam kamus,” ujarnya tegas.

Mas Ermieyati seterusnya mendesak kerajaan agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan melibatkan majlis rasmi dan kolaborasi antarabangsa supaya tidak menyinggung perasaan rakyat, khususnya umat Islam yang merupakan majoriti di Malaysia.

Source : FB Mas Ermieyati Samsudin