Bacaan IPU tidak sihat meningkat kepada enam kawasan
SHAH ALAM – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada enam kawasan selepas merekodkan Temerloh, Pahang sebagai lokasi baharu dalam laporan berkenaan setakat jam 8.40 malam pada Ahad.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar, kawasan Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 161, diikuti Banting, Selangor (155); Johan Setia, Selangor (153); Alor Gajah, Melaka (152); Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya (147) dan Temerloh, Pahang (113).
Setakat ini, tiada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat dan berbahaya.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, Putrajaya dan Alor Gajah direkodkan sebagai dua lokasi baharu yang mencatat bacaan IPU tidak sihat setakat jam 3 petang Ahad menjadikan sejumlah lima kawasan terjejas.
Ujar Wan Abdul Latiff, kemerosotan kualiti udara pada Ahad masih dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu yang memasuki rantau negara sepanjang tempoh 24 jam lalu.
Menurut beliau, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada Sabtu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-20 mengesan sebanyak 65 titik panas (hotspot) di Sumatera.