Tapir liar dikesan di Kuala Pilah dan Jelebu
SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengambil langkah pemantauan di Melang, Kuala Pilah dan Kampung Pianggu, Jelebu susulan kehadiran tapir yang dikesan menerusi video tular pada Jumaat.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, hasil siasatan mendapati haiwan itu bukan datang dari kawasan hutan, sebaliknya dipercayai berkeliaran di kawasan belukar dan kebun milik penduduk.
“Di Melang, lokasi kejadian berhampiran kawasan perniagaan seperti kedai makan dan gerai buah. Kawasan itu jauh dari hutan simpan, namun terdapat belukar dan kebun yang dipercayai menjadi laluan merayau tapir berkenaan.
“Di Jelebu pula, penduduk kampung sudah biasa dengan kehadiran tapir. Tiada kerosakan serius dilaporkan kecuali pada beberapa pokok nangka,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, tular dua gambar dan video berasingan merakam kelibat tapir liar yang dikongsikan oleh pengguna media sosial.
Faizal berkata, tiada hutan simpan berhampiran kedua-dua lokasi kejadian, namun kewujudan kawasan belukar memberi ruang kepada tapir untuk bergerak.
Katanya, pemantauan secara berkala terus dijalankan oleh Perhilitan Jempol bagi memastikan keselamatan penduduk dan hidupan liar.
“Setakat ini, Perhilitan Jempol telah menerima enam aduan berhubung kehadiran tapir yang berkeliaran dan merosakkan tanaman di kawasan kampung.