Setahun bertugas, Pegawai Kagat maut kemalangan
ALOR GAJAH – Seorang pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang baru setahun bertugas maut setelah kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Masjid Tanah–Kampung Solok Duku, di sini, awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian pada jam 3.40 pagi, mangsa, Leftenan Muda Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan ke Kem Terendak, Sungai Udang.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pada jam 3.42 pagi.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi kejadian, dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba mendapati mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kenderaan terbabit.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dilakukan dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.11 pagi.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan bertugas di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, operasi membersihkan sisa kemalangan kemudian dilakukan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.57 pagi.