Empat beranak bergantung hidup dengan wang pencen RM1,200

REMBAU – Empat beranak yang diuji dengan penyakit kronik dan masalah kesihatan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen sebanyak RM1,200 sebulan bagi menampung perbelanjaan harian serta kos perubatan mereka.

Rohani Mustafa, 69, berkata, suaminya, Latib Ibrahim, 70, merupakan pesara tentera namun diserang strok separuh badan sejak lebih sebulan lalu dan kini bergantung penuh kepada penjagaan di rumah selepas keadaannya semakin lemah.

Lebih membebankan, anak lelaki mereka, Muhamad Hafizi Latib, 41, yang menghidap obesiti melampau dengan berat badan mencecah 200 kilogram turut mengalami komplikasi kesihatan serius seperti darah tinggi serta sesak nafas dan kini sedang dirawat di Hospital Rembau.

Disebabkan itu, anak perempuan mereka, Emylia Latib, 40, yang mengalami penyakit kulit atau selulitis dan kerap keluar masuk hospital terpaksa menggagahkan diri berniaga nasi lemak serta kuih-muih secara kecil-kecilan demi kelangsungan hidup keluarga.

“Anak perempuan saya walaupun sakit dan tak sihat, tetap berniaga setiap hari untuk bantu kami. Pendapatan pun tak banyak, sekitar RM30 hingga RM50 sehari. Dia juga ambil upah jaga parkir hujung minggu.

“Kalau harapkan pencen suami semata-mata, memang tak cukup, saya sendiri juga ada masalah kesihatan iaitu menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis,” kata Rohani ketika ditemui di rumahnya di Kundur Hulu, Pedas di sini pada Sabtu.

Rohani berkata, Hafizi pernah bekerja di sebuah bengkel kereta namun terpaksa berhenti kerja empat tahun lalu apabila kesihatannya merosot dengan teruk.

Katanya, kini, Hafizi memerlukan rawatan berterusan termasuk pengambilan ubat mencairkan darah yang hanya boleh dibeli di farmasi.

“Doktor menyarankan agar kami membeli sejenis ubat mencairkan darah di farmasi, tetapi harganya mencecah RM200 sekali beli dan hanya cukup untuk dua minggu penggunaan.

“Kami memang tidak mampu untuk sediakan peruntukan itu jadi kami tak beli. Duit yang ada pun cukup-cukup untuk makan dan bayar bil,” katanya.

Lebih merunsingkan katanya, perbelanjaan bulanan mereka kini semakin menekan apabila bil elektrik mencecah antara RM700 hingga RM1,000 sebulan selain bil air pula sekitar RM80 sebulan.

“Kami memang pernah mohon bantuan, termasuk agensi kerajaan dan wakil rakyat, tapi semua tak lulus katanya sebab kami ada pencen.

“Tapi mereka tak tahu yang RM1,200 itu bukan untuk seorang, tapi untuk kami empat beranak yang sakit dan perlukan rawatan,” katanya.

Ujar Rohani, dia juga mempunyai seorang lagi anak perempuan yang telah berkahwin dan kini menetap di Melaka, namun turut berdepan kesukaran hidup apabila suaminya tidak sihat dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Permohonan bantuan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) juga telah dibuat sebelum ini dan masih menunggu status kelulusan.

“Kalau ada yang sudi bantu dari segi ubat atau sedikit kewangan, kami sangat bersyukur,” katanya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank atas nama Rohani Mustafa yang bernombor 7605253107.