Virgo Transport 8: Indonesia Sahkan Feri Terbalik, Operasi Mencari Dan Menyelamat Diteruskan
JAKARTA, 13 Sept (Bernama) — Pihak berkuasa Indonesia pada Ahad mengesahkan feri penumpang Virgo Transport 8, yang dilaporkan terputus hubungan awal hari ini, telah terbalik di Laut Jawa berhampiran Kalimantan Selatan, sementara operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih diteruskan.
Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata feri membawa 243 penumpang dan anak kapal itu, kali terakhir dilaporkan berada kira-kira 80 batu nautika dari Banjarmasin, telah dikesan menerusi pemerhatian helikopter yang terlibat dalam operasi pencarian.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima daripada helikopter, feri berkenaan telah terbalik, bukannya karam,” katanya pada sidang media di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, yang disiarkan secara langsung oleh media tempatan.
Berdasarkan kemas kini terbaharu daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia (Basarnas), seramai 107 orang berjaya diselamatkan manakala enam lagi disahkan terkorban setakat 2.56 petang waktu tempatan, dengan 130 lagi masih hilang.
Basarnas dalam satu kenyataan memaklumkan feri berkenaan membawa 213 penumpang serta 30 anak kapal bagi laluan Surabaya-Banjarmasin apabila terputus hubungan kira-kira 2 pagi selepas melepasi cuaca buruk dan dilaporkan menyenget ke satu sisi.
Dudy berkata bahagian bawah feri yang terbalik itu masih kelihatan di atas permukaan air, manakala kapal-kapal telah digerakkan di sekitar lokasi kejadian dan beberapa titik lain bagi mencari mangsa yang belum ditemukan.
“Kami belum dapat memastikan sama ada mangsa masih berada di dalam feri atau berkemungkinan berada di lokasi yang lebih jauh dari feri berkenaan,” katanya.
Menjawab soalan berhubung permit pelayaran feri itu, Dudy berkata ia dikeluarkan oleh Pejabat Syahbandar dan Pihak Berkuasa Pelabuhan (KSOP) Surabaya sewaktu kapal itu berlepas pada Sabtu, berasaskan maklumat cuaca semasa yang menunjukkan keadaan sesuai untuk pelayaran.
“Mengenai punca dan apa-apa syor yang mungkin dikeluarkan kelak, itu perlu menunggu selepas siasatan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) selesai,” katanya.
Seramai 280 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu, dibantu oleh aset kapal serta pesawat daripada Basarnas, Tentera Laut Indonesia dan agensi lain, dengan kawasan pencarian diperluas berasaskan kedudukan terakhir feri serta lokasi mangsa yang selamat ditemukan.
— BERNAMA



