Perang Bendera Mula Warnai PRN Melaka
MELAKA, 1 Nov (Bernama) — Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 mula dirasai apabila “perang bendera” antara parti politik dilihat mewarnai bahu-bahu jalan serta kawasan tumpuan awam sejurus selesai proses penamaan calon semalam.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati bendera parti politik telah dipasang di kawasan bandar seperti Kota Laksamana, Banda Hilir, Semabok, Duyong, Bukit Katil dan Ayer Molek melibatkan bendera Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beberapa parti politik menggunakan semula bendera parti yang pernah digunakan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini untuk kempen PRN Melaka.
Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata ini kerana kebanyakan bendera berkenaan masih berada dalam keadaan baik, selain sebagai langkah penjimatan bagi mengurangkan kos PRN Melaka.
“Kami tidak mempunyai banyak sumber kewangan tetapi pemasangan bahan kempen seperti bendera, poster dan kain rentang adalah penting untuk memaklumkan kepada pengundi di sesuatu kawasan bahawa PH ada bertanding di kawasan mereka.
“Bahan kempen ini juga untuk memperkenalkan kepada pengundi siapa calon yang mewakili PH… lebih untuk menyampaikan mesej itu dan bukannya untuk bertanding siapa yang pasang bendera paling banyak,” katanya kepada Bernama hari ini.
Khoo berkata pemasangan bendera PH, khususnya di kawasan yang ditandingi DAP sedang dilaksanakan secara berperingkat, terutama di lokasi tumpuan orang ramai.
Beliau berkata kira-kira 2,000 bendera akan dipasang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu dan jumlah berkenaan ditambah sekiranya diperlukan.
“Kami juga akan memasang papan iklan (billboard) dan bunting (gegantung). Kami telah mulakan selepas selesai proses penamaan calon semalam dan ia masih berjalan. Papan Iklan dan gegantung pula akan dipasang berdasarkan daerah pusat mengundi dan mengikut keperluan,” katanya.
Sementara itu, calon BN bagi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata bendera yang dipasang di sekitar kawasan DUN berkenaan juga diperoleh daripada rakan-rakan dari Negeri Sembilan dan Johor yang telah selesai PRN masing-masing.
“Memandangkan Melaka adalah negeri ketiga yang menjalankan PRN, kami gunakan apa (bendera) yang ada sahaja, bajet tidak besar,” katanya.
Beliau berkata pemasangan bendera dalam DUN Duyong masih dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam dua atau tiga hari lagi.
Sebanyak 79 calon berentap merebut 28 kerusi DUN pada PRN Melaka ke-16 selepas proses penamaan calon berakhir semalam.
Pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian berlangsung 14 Nov ini.
— BERNAMA



