Permohonan eISBN Meningkat 78.07 Peratus Pada 2025 – KSU Kementerian Perpaduan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Permohonan nombor buku standard antarabangsa elektronik (eISBN) meningkat 78.07 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan perkembangan penerbitan digital yang semakin pesat dalam industri perbukuan negara.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid berkata 4,544 permohonan eISBN direkodkan sehingga Ogos 2026, manakala jumlah penerbitan berdasarkan permohonan nombor buku standard antarabangsa (ISBN) meningkat 16.87 peratus pada 2025 berbanding 2024.

Beliau berkata penerbitan sendiri atau “swaterbit” turut mencatatkan peningkatan 56.76 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

“Perubahan ini membuka ruang yang lebih luas kepada penulis untuk menerbitkan karya, namun kebebasan tersebut perlu disertai dengan kualiti, profesionalisme, perlindungan hak cipta dan strategi pemasaran yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Citra Penulis 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli dan Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hasnita Ibrahim.

Haslina berkata industri perbukuan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan sektor kreatif, malah turut menjana pertumbuhan ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Beliau berkata berdasarkan kajian Data Perbukuan Negara 2022/2023, aktiviti penerbitan bagi tempoh 2012 hingga 2021 mencatatkan nilai output kasar RM18.59 bilion dan nilai ditambah RM8.77 bilion.

“Industri ini turut menyediakan 61,925 peluang pekerjaan serta membayar gaji dan upah berjumlah RM2.68 bilion dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Haslina berkata industri perbukuan mempunyai ekosistem yang luas merangkumi pengkarya, editor, penterjemah, penerbit, pencetak, pengedar, penjual buku dan penyedia platform digital.

Beliau berkata PNM memainkan peranan penting sebagai institusi rujukan negara dan pemudah cara ekosistem ilmu menerusi pembangunan koleksi, galakan membaca serta peluasan akses digital.

“Karya penulisan turut berperanan merakam sejarah, memelihara budaya, mewariskan ilmu dan membina persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Justeru, Karnival Citra Penulis 2026 ini menyediakan ruang kepada penulis, pembaca, penerbit, pelajar, mahasiswa dan penggiat industri untuk berinteraksi serta berkongsi ilmu, selain memperkukuh ekosistem perbukuan negara,” katanya.

Karnival bertemakan “Pena Warisan, Inspirasi Perpaduan” yang berlangsung dari 8 hingga 10 Okt itu merupakan inisiatif sulung PNM bersama penulis dan menyasarkan kehadiran 4,000 pengunjung secara fizikal serta dalam talian.

Sementara itu, johan kategori kanak-kanak bagi pertandingan persembahan TikTok pembacaan kreatif perpaduan, N. Jeetesha Venu, 8, berkata tertarik menyertai pertandingan itu selepas melihat maklumat mengenainya di platform berkenaan.

Murid Tahun Dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Menglembu, Perak itu mengakui mengambil masa kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan, termasuk menghafal teks dan menghasilkan video penyertaan.

Pengurus Penerbitan Media Inspirasi Nusantara (MIN) Zalila Isa berkata karnival itu berbeza daripada pesta buku komersial biasa kerana lebih menumpukan interaksi secara bersemuka antara penerbit dengan pembaca, selain memanfaatkan platform dalam talian seperti TikTok dan Shopee bagi memenuhi permintaan pembaca.

— BERNAMA